"Pendidikan adalah Senjata Paling ampuh untuk Mengubah Dunia"
- Nelson Mandela -
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang
Segala puji bagi Allah kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapatlah penulis menyiapkan tugasan laman sesawang yang diberikan sekaligus merupakan ciri utama bagi menyempurnakan pengambilan subjek BMP 3093.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada pensyarah bagi subjek ini, iaitu Prof. Madya Dr. Adenan Bin Ayob yang telah membimbing dan mencurahkan ilmu dari minggu pertama pertemuan bersama sehinggalah berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan ini. segala ilmu dan tunjuk ajar yang dicurahkan amat dihargai. Ucapan terima kasih juga diberikan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam proses menyiapkan tugasan laman sesawang ini. Tanpa bantuan daripada kalian, tugasan ilmiah ini tidak akan dapat penulis sempurnakan. Semoga penulisan laman sesawang ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca.
Sekian, terima kasih.
MENGENALPASTI KEHENDAK SOALAN
Setelah memilih tajuk karangan, pelajar perlu mengetahui idea utama karangan. Idea utama adalah perkara yang ingin dibincangkan atau idea keseluruhan. Umumnya, pelajar perlu mengenalpasti kata kunci iaitu kehendak soalan. Ianya bagi memastikan pelajar menulis isi yang tepat di samping mengelak daripada terpesong isi atau keluar daripada tajuk.
BINAAN PERENGGAN
1. Pendahuluan
Perenggan pendahuluan perlu mengadungi pernyataan umum, ayat huraian, dan ayat contoh. Contoh formula menghasilkan perenggan seperti berikut :
Pendahuluan | PU + AH + AC |
PU = Pernyataan Umum
Terdiri daripada 1 ayat sahaja.
Ditulis berdasarkan tajuk.
AH = Ayat Huraian
Terdiri daripada 1 hingga 3 ayat.
AC = Ayat Contoh
Anda boleh memberikan 1 atau lebih contoh.
Contoh yang diberi haruslah sesuai dan relevan dengan kehendak soalan.
CONTOH PERENGGAN PENDAHULUAN
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti "api dalam sekam". Fenomena ini akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti. Contohnya, jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinyadaripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. Olehi tu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada merawat.
Perenggan Isi
Isi | AT + AH + AC + AP |
AT = Ayat Topik
Terdiri daripada 1 ayat yang ringkas dan jelas.
Ditulis pada permulaan ayat.
Pencetus idea untuk mengembangkan ayat seterusnya.
AH = Ayat Huraian
Terdiri daripada 1 hingga 5 ayat.
Dihuraikan secara mendalam menggunakan formula 5W 1H (Mengapa,Apa,Siapa,Bagaimana,Di mana).
Ayat huraian mestilah menunjukkan kesinambungan dengan cara menggunakan penanda wacana yang sesuai.
AC = Ayat Contoh
Anda boleh memberikan sekurang-kurangnya 1 contoh.
Pastikan contoh yang diberi sesuai dan relevan dengan keadaan dan bertepatan dengan kehendak soalan.
AP = Ayat Penegas
Merupakan ayat kesimpulan kecil bagi setiap isi
AP menegaskan semula AT dengan menggunakan ayat berbeza tetapi masih mengekalkan maksud yang sama dengan AT.
CONTOH PERENGGAN ISI
Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh institusi keluarga dalam membendung masalah sosial ialah memberikan pendidikan agama kepada para remaja. Pendidikan agama hendaklah diberikan oleh keluarga sebelum seseorang meningkat remaja, seperti kata pepatah Melayu ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak-anak kerana dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah keruntuhan moral. Antara bentuk pendidikan yang diberikan ialah secara formal dengan menghantar anak-anak ke kelas-kelas agama mengikut kepercayaan agama masing-masing.Kesannya, pendidikan agama yang sempurna membolehkan seseorang membuat pertimbangan sewajarnya dalam membezakan perbuatan yang baik dengan yang buruk.
Perenggan Penutup
Penutup | AK + AC + AH |
AK = Ayat Kesimpulan
Terdiri daripada 1 hingga 2 ayat.
Merumuskan keseluruhan karangan.
AC = Ayat Cadangan
Terdiri daripada 1 hingga 2 ayat.
Memberi cadangan yang relevan dan mengaitkan dimensi dengan fokus arahan yang diberikan.
AH = Ayat Harapan
Menyatakan harapan sekiranya cadangan yang diberikan dalam AC diguna pakai dalam usaha menangani isu yang dibincangkan.
Menggunakan kata hubung agar / supaya / demi untuk menyambungkan AC dengan AC.
CONTOH PERENGGAN PENUTUP
Ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang singnifikan untuk mendidik anak-anak supaya menjaga kebersihan. Anak-anak apabila diajar erti kasih sayang, mereka akan mengasihi. Apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab dan apabila diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya menunding jari kepada ibu bapa sahaja untuk memikul tanggungjawab ini. Semua pihak perlulah bekerjasama supaya remaja di negara kita dapat mementingkan kebersihan pada masa hadapan.