Contoh Karangan - Masalah Disiplin
Soalan : Masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Nyatakan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah tersebut.
Masalah dispilin pelajar merujuk perbuatan atau salah laku yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Salah laku yang sering dilakukan oleh pelajar termasuklah ponteng, melawan guru, vandalisme, kekemasan diri dan buli. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut.
Masalah disiplin dalam kalangan pelajar dewasa ini tidak boleh dipandang ringan, malah perlu diberi perhatian yang serius. Institusi keluarga merupakan faktor penting dalam pembentukan disiplin kerana di sinilah asas disipilin diperoleh sebelum pelejar menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Ahli keluarga merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Kasih sayang yang akan mereka peroleh akan menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar.
Seterusnya, pihak pentadbir sekolah juga boleh menangani masalah disiplin pelajar dengan cara memperketat pelaksanaan peraturan sekolah, mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang terlibat supaya menjadi teladan kepada pelajar yang lain. Guru-guru juga perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan peraturan sekolah selain tanggungjawab yang dipikul oleh guru disiplin. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga mesti memainkan perana untuk menangani masalah disiplin para pelajar.
Selain itu, media massa turut memainkan peranan untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Media massa, khususnya televisyen tidak seharusnya terlalu mementingkan keuntungan, sebaliknya harus berperanan membentuk, mendidik dan menanamkan kesedaran kepada penonton. Program-program yang berunsurkan keganasan dan seks patut dihentikan terus penyiarannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan negatif kepada pelajar-pelajar.
Mata pelajaran Pendidikan Islam, Moran dan Sivik dalam sistem pendidikan adalah sangat penting dalam usaha untuk mengajar dan mendidik pelajar. Didikan agama yang kuat akan dapat mengelakkan pelajar daripada melakukan perkara-perkara yang negatif. Nilai-nilai moral akan diperolehi pelajar melalui mata pelajaran Pendidikan Moran dan Sivik. Pendidikan ini membantu pelajar membentuk peribadi mulia dan boleh membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga dan masyarakat.
Kesimpulannya, salah laku dan kemerosotan disiplin pelajar akan berterusan sekiranya pihak yang terlibat enggan bekerjasama untuk mengorak langkah bersama-sama menangani masalah ini. Jika dibiarkan berterusan, keadaan yang sedia ada boleh menggugat perkembangan pelajar dan sistem pendidikan di negara ini. Keprihatinan masyarakat bermaksud memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.